Saturday 9 February 2013

Hati diduga, hati menjadi tabah

Assalammualaikum bloggers. Maaf sebab lama tidak meng-update blog dek sibuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan cabaran serta dugaan.
Mengapa kita diuji? Mengapa kadang kala hati kita merasa sedih? Kadang kala merasa gembira? Ya, manusia sering diuji dengan pelbagai corak dugaan. Kadang-kadang, hati kita putus asa dalam menghadapi dugaan yang berat. Apatah lagi apabila seorang wanita yang diberi dugaan. Hati wanita ini lembut. Hati yang mudah terpengaruh, mudah terluka, mudah tersentuh. Tetapi, Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar dalam menghadapi dugaannya.
Dengan dugaan itu, kita dapat mengambil iktibar untuk dijadikan pengalaman, kekuatan dan pengajaran untuk melalui liku-liku kehidupan yang akan datang. Manusia sering diuji dengan masalah cinta, sahabat dan keluarga, Betul tidak? 
Daripada pengalaman saya, saya sering diuji melalui masalah dalam persahabatan. Kenapa sukar untuk mencari sahabat sejati? Sedangkan ramai kawan yang hidup di samping kita? Ya, memang ramai kawan yang hidup di samping kita. Tetapi, adakah mereka yang akan bersama kita tika susah atau senang? Tidak mungkin dan ya mungkin. Siapa tahu? Sahabat dan kawan adalah berbeza. Saya sering dikecewakan oleh sahabat. Yang dahulunya rapat bagai belangkas kini seperti anjing dengan kucing yang sering berkelahi dek kerana saya menegur sikapnya sahaja persahabatan yang dahulu dibina kini runtuh seperti rumah yang tidak bertiang. Mengapa sukar untuk mempertahankan sahabat? Hmm, memang setiap yang baik pasti ada ujian yang akan diberikan kepada kita. Melalui situasi itu, kita dapat tahu sama ada kita mampu untuk melalui dugaan itu bersama sahabat atau dengan sendiri sahaja. Kita dapat melihat siapa sebenarnya kawan dan sahabat kita.
Biarlah diduga, tabahkan hati kalian dalam menempuhi dugaan itu. InsyaAllah, tempuhi dengan senyuman ikhlas yang terukir di wajah indahmu. Buang yang keruh, ambil yang jernih. 

Ya Allah, titipkanlah rasa rinduku kepada insan yang pernah menjadi sahabatku. Engkau lindungilah mereka. Berikanlah mereka kebahagian bersama yang tersayang. Tiupkan angin rinduku walau mereka tidak tahu ku sedang merindui mereka. Amin ya Rabb.

Read, Like, Follow