Friday 19 September 2014

Iri hati

Assalamualaikum.



Kadang aku terfikir sendiri,

 Kenapa perlu iri hati?
  Kenapa perlu timbul hasad dengki?
   Adakah berbaloi semua ini?
    Atau ia bakal memamah diri?

Manusia itu sering iri hati pada insan lain yang mungkin memiliki kelebihan yang tidak ada pada dirinya. Tidakkah dia tahu bahawa Allah mencipta seseorang insan itu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing? Mungkin pada mata anda, seseorang itu terlalu banyak kelebihannya, ingatlah, pasti ada kekurangan yang terselit pada dia.

Namun pada kelebihan itu bukan untuk diperagakan kepada orang lain. Tetapi, Allah memberi kelebihan itu untuk menguji ketaqwaan seseorang hambaNya. Kelebihan itu perlu disyukuri pada Allah yang memberi kerana Allah boleh menarik nikmatNya bila-bila masa sahaja sama ada anda sedar atau tidak.

Pada kekurangan tidak perlu disesali mahupun ditangisi. Anggaplah kekurangan itu sebagai keunikan pada diri anda. Kekurangan akan mengajar kalian erti bersyukur dengan apa yang Allah beri. Tiap kekurangan yang diberi itu pasti ada hikmahnya.

Jika semua manusia di dunia ini mempunyai kelebihan yang sama, tidakkah kalian akan jemu melihat orang sekeliling anda? -- Eh, aku bosan lihat orang sekeliling yang mempunyai corak persamaan yang seiring dengan aku.
Lihat pada dunia sekarang, kita punya corak kehidupan yang berbeza. Pada yang kurang kita simpati dan prihatin. Pada yang lebih kita syukuri nikmatNya.

Jangan terlalu mencari pada titik persamaan, cari pada titik perbezaan yang bakal melengkapi kalian antara satu sama lain. Yang pasti memeberi impak kesyukuran dan ketakwaan kalian.

Andai kau punya kelebihan tersendiri, jangan engkau bangga, jangan engkau riak malah 'ujub. Itu semua bersifat fana yang akan lesap dan lenyap bila Allah mahu. Muhasabah diri dan tingkatkan ketakwaan kepada Allah di tiap hari mu. Hiasinya dengan amal yang meningkatkan iman itu.

Wallahu'alam, waalaikumsalam.






Read, Like, Follow

No comments: